Monday, April 11, 2011

Kemurungan Dari Perspektif Islam


Mencegah itu lebih baik dari mengubat, maka sebab itu lah saintis berlumba-lumba mencipta pelbagai jenis vaksin untuk membantu manusia mengelak dari dijangkiti oleh penyakit-penyakit tertentu seperti campak dan juga selsema. Walaupun kemajuan yang teramat moden didalam bidang perubatan telah dicapai, hingga kini masih tiada lagi vaksin untuk kemurungan dicipta. Ubat untuk kemurungan itu sendiri sudah berlambak-lambak dipasaran seperti Prozac, Zoloft atau Effexor akan tetapi mengapa perlu berubat lebih diutamakan jika mencegah itu adalah yang terbaik? Hakikatnya adalah, vaksin untuk kemurungan tidak boleh dicipta oleh saintis kerana penyakit kemurungan itu bukanlah dari kuman atau virus, ianya dari pemikiran.

Menurut Persatuan Psykiatri Malaysia,

“antara sebab penyakit kemurungan melanda seseorang individu itu adalah akibat tekanan daripada sesuatu situasi atau persekitaran dan kejadian tertentu, rasa rendah diri ataupun disebabkan penyakit fizikal yang kronik atau serius.”

Tekanan, stress atau rendah diri ini datangnya dari cara pemikiran manusia itu sendiri yang menterjemahkan sesuatu situasi atau keadaan tersebut. Jika persepsi seseorang terhadap situasi itu adalah buruk atau menakutkan, maka sudah pasti mereka akan tertekan dan ini menjadi "anak benih" kepada kemurungan. Dengan di"bajai" oleh pemikiran yang sama secara berterusan dan di"sirami" dengan linangan air mata maka "pokok" kemurungan yang serius ini akan membesar dengan suburnya.

Vaksin atau pelindung yang paling mudah malah percuma untuk mencegah kemurungan adalah dengan mengubah persepsi atau pandangan kita terhadap sesuatu kejadian itu. Sebagai umat Islam yang beriman dan mengaku bahawa Allah itu yang maha Esa, Pencipta, Pengasih dan Penyayang maka semua yang berlaku itu adalah dariNya. Akan tetapi sudah menjadi kebiasaan manusia yang telah dicorakkan mindanya untuk menumpukan perhatian lebih kepada keburukan, maka kita lebih melihat keburukan berbanding kebaikan terhadap musibah yang berlaku.

Terdapat tiga prinsip yang boleh diamalkan didalam kehidupan seseorang manusia itu yang mana pada pendapat saya, ianya boleh memastikan "vaksin kemurungan" didalam tubuh badan manusia. Semakin jauh manusia dari stress, tekanan atau kemurungan maka semakin lebih baik seseorang manusia itu boleh berfikir lantas membuat pilihan-pilihan yang lebih bijak didalam kehidupannya. Tiga prinsip tersebut adalah;


Semuanya Salah Aku.

Pada pendapat saya, kebanyakan kejadian yang berlaku didalam hidup seseorang itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri. Mungkin ramai yang tidak boleh menerima kenyataan ini kerana bagi kebanyakan manusia, mereka hanyalah mangsa kejadian, semua ini adalah takdir dan tidak mampu untuk mengelak atau mengubahnya. Rata-rata manusia mereka menganggap tuhan telah mencipta "mesin gergasi" iaitu dunia ini dan mereka hanyalah salah satu dari gear yang berputar.

Amat pelik dan barangkali sukar untuk menerima untuk menyalahkan diri sendiri, akan tetapi jika manusia berani mengubah persepsi mereka terhadap semua kejadian yang menimpa baik yang positif atau negatif, ianya akan memberikan dua impak yang utama, pertamanya mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan perbuatan mereka dan keduanya mereka lebih berkuasa mencipta realiti hidup mereka sendiri. Manusia akhir zaman kebanyakannya percaya kewujudan Allah sebagai tuhan tetapi tidak percaya yang Allah itu maha adil.

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? (Al-Rahman 55:60)


Allah Ingin Memberi Yang Lebih Baik Lagi.

Adakalanya kita kecewa apabila sesuatu yang kita hajati itu tidak kesampaian, sebagai contohnya apabila kekasih yang disayangi tidak berjaya dimiliki. Kesedihan akibat dari kegagalan untuk bersatu selalunya akan menular kepada kemurungan yang serius. Jika kita boleh ubah persepsi kita dengan menganggap bahawa Allah ingin memberi kita seorang insan yang lebih baik lagi, maka mungkin kesedihan yang melanda itu akan reda dengan segeranya. Siapa yang tidak sedih apabila putus bercinta akan tetapi jika kita percaya yang Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang maka kita sebaliknya akan tersenyum gembira menanti siapakah agaknya sidia yang akan digantikan oleh Allah itu. Bukan sekadar percintaan sahaja, jika permohonan melanjutkan pelajaran ditolak, gagal temuduga kerja, tidak dinaikkan pangkat dan sebagainya, dengan mengubah persepsi kita bahawa Allah mahu memberi yang terbaik, kita akan menjadi manusia yang lebih bertakwa dan pastinya rezeki atau ganjaran yang tidak disangka-sangka akan pasti menjelma.

Manusia lebih mudah menjadi marah, kecil hati dan bersedih dsekiranya apa yang dihajati tidak termakbul .Itu sudah cukup untuk menunjukkan ketidak syukuran kita kepada Allah. Disebabkan kita bersikap negatif maka bertambah-tambah lagilah perkara-perkara negatif yang melanda dan akibatnya semakin tertekan dan menjadi murung.

Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).(At-Talaq 65:2,3)

Allah Ingin Mengubah Haluan Hidup Kita Agar Mencapai Apa Yang Dihajati

Adakalanya kita berhajatkan sesuatu akan tetapi untuk Allah mengurniakannya kepada kita, sesuatu kejadian buruk harus berlaku. Saya percaya jika setiap diri kita ini merenung seketika kisah masa silam pasti ada peristiwa yang sama berlaku pada setiap individu yang mana dari peristiwa yang buruk berkesudahan dengan kebaikan. Kebanyakan kita tidak perasankan ianya kerana mungkin idea ini tidak pernah timbul di pemikiran ataupun jarak masanya yang agak jauh akan tetapi jika kita ikuti rentetan-rentetan hidup, pasti kita akan berterimakasih kepada Allah yang maha penyayang.

Allah Mahu menduga HambaNya

Jika kita yakin yang kita tidak melakukan dosa-dosa, jika kita rasa sudah mendapat apa yang dihajati akan tetapi dugaan masih melanda, itu sudah cukup untuk memberi kita perasaan gembiran yang teramat sangat kerana Allah mahu menduga kita. Sedangkan para Nabi yang punyai tahap keimanan yang tinggi juga, inikan pula kita manusia biasa.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (AlBaqarah 2:214)

Jadi, walau dari segi dan sudut mana sekalipun kita lihat musibah yang terjadi itu, ada hikmah disebaliknya yang kita tidak boleh nampak, maka tiada sebab sebenarnya untuk manusia itu mengidap kemurungan yang serius.

“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah 2:155-156).

Maka bersangka-baiklah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi penyayang dan tidak akan mensia-siakan hambanya, dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan....wallahua'lam...

5 comments:

  1. PERKHIDMATAN SEWA SAUNA

    Sauna x hanya utk anda menguruskan badan..itu 1 pandangan yg skeptikal ttg sauna. Sauna x hanya sebuah alat utk membakar lemak, bahkan fungsinya lbh hebat dr itu..Ia adalah sebuah alternatif mudah utk anda tampil LEBIH SIHAT, BERTENAGA & MENGURANGKAN RISIKO PENYAKIT BERBAHAYA!

    Sekiranya anda belum bersedia membeli sebuah set sauna di rumah, mengapa tidak anda menyewa dr kami? Saya menawarkan 2 buah set sauna yang sedia disewa mengikut pakej-pakej berikut:

    2 Hari: RM20
    4 Hari: RM40
    5 Hari: RM50

    Call/ SMS 012-9912841/ 016-9567909 JALAN LEP 3/4, TAMAN LESTARI PUTRA, BANDAR PUTRA PERMAI, SERI KEMBANGAN, SEL.

    Selain sewa, anda juga boleh terus membeli dengan saya dengan 7 jenis set sauna yang sangat praktikal dan efektif untuk penjagaan kesihatan anda……
    WWW.SAUNAMU.COM

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas artikel ini sedikit sebanyak membantu saya.. saya kemurungan lebih kurang 2 minggu dah.. saya sedih sangat.. tp lepas baca artikel anda ni saya agak positif sedikit.. mungkin mmg ye, "Allah Ingin Memberi Yang Lebih Baik Lagi." :)

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum admin,,minta izin utk copy artikel utk jd rujukan research ye??

    tq

    ReplyDelete
  4. perkongsian saya adalah ilmu...silakan share... dan pada yang successfully increase their motivation by reading this article, Alhamdulillah....sesungguhnya saya juga pernah berada di zaman gelap & murung..tapi berpeganglah pada iman..kembalilah pada Allah...Dia Maha Penyayang...

    ReplyDelete
  5. Ramai wanita mengalami perubahan tingkah laku dan fizikal tertentu yang berkaitan dengan fasa kitaran haid mereka dan ini juga boleh menyebabkan mereka mendapat penyakit kemurungan. Jadi kena berhati-hati.

    ReplyDelete