Wednesday, April 6, 2011

Iktibar kisah Hindun


Pengetahuan kita terhadap sirah Islam seolah-olah tidak akan menjadi lengkap dan sempurna tanpa bercerita kisah wanita yang seorang ini. Hindun Binti Uthbah, sebagaimana yang diketahui umum mempunyai watak yang sangat protagonis dalam perang Uhud. Beliau pernah digelar sebagai pemakan hati, iaitu umpama manusia kanibal yang sanggup mengunyah daging manusia lain semata-mata untuk mendapatkan kepuasan diri.

Namun sangat menarik jika kita dapat mengenali watak Hindun yang begitu memusuhi Islam di zaman jahiliah ini dengan lebih dekat lagi. Kita tidak akan menemui sebarang kisah yang menceritakan mengenai kecantikan ataupun kejelitaan Hindun pada zamannya. Tetapi, yang sering diceritakan adalah mengenai jiwa kentalnya,kepintaran kata-katanya, ketegasan pendiriannya dan pengaruh yang sangat kuat terhadap kaumnya. Pendek kata dia menepati ciri-ciri wanita bangsawan walaupun sering menimbulkan pelbagai konflik.

Imam Ibnu Abdil Jarir menyifatkan Hindun sebagai “Wanita yang berjiwa besar dan memiliki kehormatan”. Dia digambarkan sebagai seorang wanita Arab yang sangat luhur dikalangan wanita-wanita lain. Dia dikatakan sangat fasih ketika berbicara, sangat berani, kuat, sering berfikir dan berpandangan jauh juga penyair yang bijak". Pendek kata, dengan sifat-sifatnya itu, Hindun dipandang mulia, sekaligus mengangkat nama dan nasab keturunannya untuk disegani dan dihormati oleh seluruh penduduk Arab ketika itu. Anaknya yang sangat terkenal dalam sejarah Islam sebagai pengasas Dinasti Umayyah iaitu Muawiyah Bin Abu Suffian pernah berkata: “Ibuku adalah wanita yang sangat berbahaya di zaman jahiliah tetapi di dalam Islam, beliau menjadi seorang wanita yang sangat mulia dan baik”

Selepas bercerai dengan Al fakih bin Mughirah Al Makhzumi, beliau pernah berkata; “Aku adalah wanita yang memiliki hak. Maka janganlah menikahkan aku dengan mana-mana lelaki sebelum mereka menawarkan dirinya kepada aku”. Lalu, apabila dua orang lelaki datang meminangnya, Hindun benar-benar memilih lelaki manakah yang terbaik untuk beliau jadikan suami.

Dia menolak lelaki pertama, iaitu seorang yang boleh dipengaruhi kerana kebodohannya walaupun dia dari kalangan keluarga terhormat. Walaupun dikatakan lelaki itu akan tetap setia disamping Hindun waima apa sekalipun yang Hindun lakukan, beliau tetap menolak. Hindun lebih memilih lelaki kedua apabila mendapati lelaki tersebut memiliki kehormatan yang tinggi, nasab dan kecerdasan yang tulin, sangat aktif pergerakannya serta sangat berwibawa sehingga lelaki itu dikatakan dapat mengatur keluarganya sehingga seluruh anggota keluarganya tunduk hormat terhadapnya.

Ditanya bapa Hindun kepadanya mengenai penolakan beliau terhadap lelaki pertama dengan berkata : “Kekurangan lelaki itu dapat dicukupkan (disempurnakan) dengan kecerdasanmu”. Namun hujah Hindun: “Adapun lelaki pertama, dia adalah lelaki yang akan lenyap kemuliaannya, akan membinasakan isterinya sendiri kerana akan hidup di bawah telunjuk isteri yang lebih berkuasa. Jika melahirkan keturunan, anak-anaknya akan menjadi bodoh dan tidak mampu menunjukkan kehebatan. Maka, jauhkan lelaki itu dariku dan tidak perlulah bapa memberitahu aku akan namanya.

Sesungguhnya aku sangat tertarik dengan lelaki kedua. Dengan keperibadiannya, dia boleh menjadi suami yang memiliki kemerdekaan yang sebenarnya dan jika dilihat dari nasabnya, maka tiada penghalang untuk kami berumahtangga. Tetapi, siapakah lelaki itu wahai bapaku? ”.

“Dia adalah Abu Suffian bin Harb” jawab Utbah.

Memetik syair yang diseru Hindun untuk menaikkan semangat anggota perang puak Quraisy di dalam perang Uhud:
“Kami adalah wanita-wanita jalanan
Yang berjalan membawa bantal yang empuk
Jika kalian maju…kami peluk
Jika kalian lari….akan kami cerai”

Beliau turut mengulang-ulang syair:
“Wahai Bani Abdi Daar
Wahai para pejuang
Pukullah dengan segala senjata yang tajam!”

Mengambil iktibar dari kisah di atas, wanita bukan lah insan kelas kedua. Kecerdasan wanita dan semangat jitu wanita seiring dengan lelaki. Namun, dalah hal ehwal berumahtangga, wanita tetap memerlukan seorang lelaki yang layak digelar pemimpin keluarga. Seorang lelaki yang layak untuk menjadi bapa dan suami. Peranan wanita adalah berdiri teguh dibelakang dan menjadi sayap kiri kepada suami yang dicintai. Sesungguhnya kehidupan rumahtangga adalah kenikmatan yang sangat indah. Sedangkan seorang wanita yang berjiwa kental begitu tidak memilih untuk menjadi “queen control”….kenapa wanita akhir zaman ini berbangga jika dapat menundukkan suami. Tidak dapat cara baik….digunakan cara kotor…Nauzubillah…..

(sumber: Utusan Malaysia, 6 April 2011 - Segmen Sirah Nabawi)

No comments:

Post a Comment